PIRAEUS, 17 Ogos – Manchester City memenangi Piala Super UEFA buat kali pertama awal pagi tadi tetapi memerlukan penentuan penalti untuk menundukkan Sevilla selepas seri 1-1 di Athens.
Tandukan padu Youssef En-Nesyri pada babak pertama membantu kelab Sepanyol itu mendahului.
Juara Eropah, City jauh daripada persembahan terbaik mereka namun bangkit untuk memaksa penentuan penalti menerusi tandukan Cole Palmer.
City kemudian bertindak sempurna menerusi penentuan penalti dan menang 5-4 selepas pertahanan Sevilla, Nemanja Gudelj merembat bola ke palang.
Pep Guardiola mengeluh mengenai kekurangan persiapan pasukannya bagi musim baharu dan ia terserlah dalam cuaca panas di ibu kota Greece itu.
City kelihatan terjejas teruk dengan ketiadaan perancang tengah Kevin De Bruyne dan Bernardo Silva kerana kecederaan dan kurang sihat.
Sevilla memulakan musim La Liga mereka dengan kekalahan memilukan 2-1 di laman sendiri kepada Valencia.
Namun seperti yang mereka lakukan musim lalu apabila menjulang trofi Liga Europa kali ketujuh sekalipun menghuni tangga ke-12 liga, mereka bertindak cemerlang pada perlawanan besar.
Penjaga gol Sevilla, Yassine Bounou bermain apa yang dijangkakan perlawanan terakhirnya buat kelab itu sebelum berpindah ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
Pemain kebangsaan Maghribi itu menafikan City permulaan sempurna apabila dia menepis tandukan padu Nathan Ake yang menuju ke arah penjuru bawah pintu golnya.
Kemudian anak buah Guardiola mula sukar untuk menguasai bola dan dihukum pada minit ke-25.
Josko Gvardiol melakukan penampilan sulungnya dalam kesebelasan utama buat City sejak berpindah dengan harga 90 juta euro (RM435 juta) dari RB Leipzig.
Pemain kebangsaan Croatia itu tertewas dengan kehebatan En-Nesyri yang menyudahkan hantaran silang Marcos Acuna.
Pemergian Riyad Mahrez ke Arab Saudi membuka peluang kepada pemain graduan akademi City, Palmer untuk mengetuk pintu pasukan utama dan pemain B-21 England itu, yang turut menjaringkan gol menentang Arsenal pada Perisai Komuniti, mengambil peluangnya pada minit ke-63.
Rodri muncul wira City dengan gol tunggal pada final Liga Juara-Juara menentang Inter Milan dan kali ini pemain Sepanyol itu menjadi pengumpan dengan hantaran tepat buat Palmer untuk menanduk masuk melepasi Bounou.
Erling Haaland menyumbat dua gol dalam semua tiga penampilannya menentang Sevilla sebelum ini namun pemain Norway itu langsung tidak kelihatan sebelum penentuan penalti.
Bagaimanapun akhirnya tiada penamat gembira buat Bounou apabila Haaland, Julian Alvarez, Mateo Kovacic, Jack Grealish dan Kyle Walker semuanya menyempurnakan sepakan penalti mereka.- nasionalkini.my