KUANTAN, 11 Ogos – Tiga warga asing ditahan selepas dipercayai menceroboh kawasan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah di Hutan Simpan Gunung Ais, dekat Jerantut, awal pagi Rabu lalu.
Ketua Eksekutif Perbadanan Taman Negeri Pahang, Abu Zahrim Ismail berkata, tangkapan warga Kemboja berusia antara 35 hingga 40 tahun itu dilakukan Pasukan Taktikal Khas PERHILITAN (SPARTA) dibantu pegawai dari Perbadanan Taman Negeri Pahang.
“Serbuan jam 6 pagi itu dilakukan terhadap suspek hasil intipan dilakukan di kawasan berkenaan.
“Selain tangkapan, pasukan serbuan juga merampas jerat nilon, daging hidupan liar, bahagian kaki baning, parang, kapak dan pelarik gaharu daripada suspek,” katanya dalam satu kenyataan media kepada nasionalkini.my di sini, hari ini.
Abu Zahrim memaklumkan, warga asing berkenaan melakukan kesalahan mengikut Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021.
Katanya, satu laporan polis berkaitan tangkapan itu juga sudah dibuat oleh pasukan serbuan.
“Siasatan kes dilakukan mengikut Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 dan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.
“Semua suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan pihak Perbadanan Taman Negeri Pahang sangat komited memelihara dan memulihara kelestarian alam sekitar di negeri ini.
Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Julai lalu.
Kawasan seluas 134,182 hektar itu diwartakan secara berfasa mengikut Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021.- nasionalkini.my