in

KDA FC buru kemenangan ketiga

Nafuzi bagaimanapun berkata, mereka tidak akan mengambil mudah kekuatan Kuching City yang dilihat semakin meningkat - Gambar oleh KDA FC

ALOR SETAR, 27 Julai – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu memastikan momentum kemenangan dalam dua aksi sebelum ini dikekalkan dalam saingan Liga Super menentang Kuching City FC (KCFC) di Kuching pada Sabtu ini.

Ketiadaan tonggak tengah Lee Tuck, yang diumumkan meninggalkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semalam, menjadi cabaran baharu buat pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain dalam mencorak strategi jentera serangannya.

Nafuzi berkata, dua kemenangan yang diraih skuadnya, ke atas PDRM FC 2-0 dan Kelantan United 3-1, masing-masing pada 9 dan 14 Julai lalu, menjadi pembakar semangat buat pemainnya bagi mengukuhkan kedudukan tiga terbaik dalam carta Liga Super.

“Kita mencapai kemenangan dalam dua perlawanan lalu, kita perlu kembali tingkatkan lagi keupayaan diri untuk memastikan momentum ini dapat diteruskan.

“Perlawanan menentang Kuching City FC ini kita kena berikan dengan momentum seperti yang kita capai sebelum ini kerana kita mahu memastikan tidak keciciran mata selepas berada dalam kelompok tiga teratas liga.

“Ifedayo Olusegun dan Moses Atede kini bertambah baik dan tahap kecergasan mereka serta persefahaman dengan rakan sepasukan juga semakin meningkat,” kata Nafuzi kepada BH.

Nafuzi bagaimanapun berkata, mereka tidak akan mengambil mudah kekuatan Kuching City yang dilihat semakin meningkat dan ditambah pula dengan kemasukan beberapa pemain baharu dalam pasukan.

“Kuching City ada beberapa pemain baharu yang memperkuatkan lagi pasukan mereka dan ini bakal meningkatkan lagi keupayaan mereka yang akan beraksi di laman sendiri.

“Beraksi di Kuching saya jangkakan tidak mudah buat kami, tambahan pula jika mereka menentang pasukan lebih atas seperti Kedah yang berada di tangga ketiga, sudah pasti mereka mahu tampil lebih kuat dan bersemangat serta mahu melakar kejutan.

“Jadi ini peranan penting yang perlu dipersiapkan oleh pemain Kedah bagi memastikan momentum kemenangan yang kami cari ini dapat diteruskan,” katanya.

Selepas 17 perlawanan, Sang Kenari mengumpul 34 mata menerusi 11 kemenangan, satu seri dan lima kekalahan, manakala Kuching City FC yang berada di tangga ke-12 dengan jumlah tujuh mata, mencatat satu kemenangan, empat seri dan 12 kekalahan.- nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

WhatsApp Image 2023 07 27 at 4.56.43 PM

6 pelajar Orang Asli cemerlang terima insentif

361655139 985999752473261 7854924928533541126 n

Harimau Malaya berdepan Oman, Kyrgzstan