in

Jota penyelamat maruah Liverpool

Jota memastikan kemenangan dengan dua gol hasil umpanan Gakpo dan Mac Allister - Gambar oleh Liverpool FC

KARLSRUHE, 20 Julai – Dua gol pantas Diogo Jota memastikan kemenangan 4-2 buat Liverpool ke atas Karlsruher dalam aksi pembukaan latihan pra-musim di Jerman.

Penyerang Portugal itu meledak dua kali dalam tempoh seminit ketika masa kecederaan, selepas Darwin Nunez dan Cody Gakpo turut menjaringkan gol ke atas skuad Bundesliga 2 berkenaan.

Jurgen Klopp turut memberi peluang kepada pemain baharu Liverpool, Dominik Szoboszlai dan Alexis Mac Allister membuat penampilan sulung mereka.

Kapten kelab, Jordan Henderson digugurkan daripada skuad selepas Liverpool mencapai persetujuan dengan kelab Liga Pro Saudi, Al-Ettifaq untuk perpindahan pemain itu.

Liverpool memulakan aksi di Stadium BBBank Wildpark dengan baik apabila Nunez membuka jaringan seawal minit ketiga selepas bermain satu dua dengan Mohamed Salah.

Lars Stindl menyamakan kedudukan untuk Karlsruher di stadium baharu mereka sebelum rehat, dan turut terbabit dalam gol kedua jaringan Sebastian Jung untuk tuan rumah mendahului di babak kedua.

Liverpool bangkit menerusi jaringan Gakpo dan permainan berlanjutan ke masa tambahan. Jota memastikan kemenangan dengan dua gol hasil umpanan Gakpo dan Mac Allister, dipetik dari Reuters.

Liverpool akan berdepan Greuther Furth minggu depan, sebelum terbang ke Singapura menentang Leicester dan Bayern Munich.- nasionalkini.my

6 kejadian khianat kain rentang, bendera parti dipantau

Sanusi kekal calon PRN