LONDON, 14 Ogos – Pengurus baharu Chelsea, Mauricio Pochettino menyaksikan pasukan yang dibentuknya pada musim panas bangkit sebelum seri 1-1 di laman sendiri menentang Liverpool pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi apabila pertahanan baharu Axel Disasi memadamkan gol pendahuluan Luis Diaz.
Dalam pertembungan dua kelab gergasi yang bertindak hambar musim lalu, Diaz mengancam untuk memusnahkan perlawanan kompetitif pertama kendalian Pochettino bersama The Blues apabila pemain Colombia itu pantas menghulurkan kakinya bagi menampan masuk hantaran Mohamed Salah pada minit ke-18 ketika pelawat melakukan serangan pantas.
Liverpool berasakan mereka berjaya menggandakan pendahuluan hanya 10 minit kemudian namun Salah dipersalahkan kerana ofsaid sebelum dia menewaskan penjaga gol Robert Sanchez, seorang daripada empat pemain Chelsea yang membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama.
Chelsea mengasak selepas itu dan menyamakan kedudukan pada minit ke-37 apabila Liverpool gagal menangani bola sepakan sudut dan pemain antarabangsa Perancis, Disasi – yang diikat dari AS Monaco bulan ini – menampan bola masuk dari jarak dekat selepas tandukan lambung daripada Ben Chilwell.
Dua minit kemudian, Chilwell melepasi kawalan penjaga gol Alisson Becker untuk meledak jaringan namun VAR menyatakan dia berada dalam keadaan ofsaid.
Chelsea mendominasi pegangan bola selepas rehat tetapi gagal untuk mendapatkan gol kedua.
Percubaan yang terbias daripada pemain gantian Darwin Nunez kemudian hampir membantu Liverpool menang pada masa kecederaan.- nasionalkini.my