KOTA BHARU, 20 Julai – Polis Kelantan menerima dua laporan polis berhubung kejadian khianat terhadap kain rentang dan bendera parti sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kejadian itu berlaku di Tumpat dan Kuala Krai.
Pada masa sama katanya, pihak polis turut mengesan empat lagi kejadian sama berlaku di sekitar Kota Bharu.
“Perbuatan khianat ini dilakukan dengan cara mencabut dan menjatuhkan bendera parti serta merosakkan kain rentang.
“Polis memandang serius berhubung kejadian ini dan menggerakkan hampir kesemua ‘Team Cantas’ dan juga pasukan lain di bawah Ketua Polis Daerah dalam usaha mengesan dan menangkap pihak yang dipercayai terbabit sama ada secara langsung atau sebaliknya.
“Semua yang berkaitan akan menerima padah dan polis akan pastikan siasatan dilakukan sehingga ke akar umbi,” katanya menerusi kenyataan media di sini, lapor BH.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua ketua parti, presiden badan bukan kerajaan (NGO) atau pengerusi mana-mana pertubuhan khususnya di Kelantan supaya sentiasa menjaga dan mengawasi ahli serta pengikut masing-masing supaya tidak merosakkan keharmonian dan keamanan.
Katanya, pelaksanaan proses berkempen hendaklah dilakukan secara sihat, harmoni dan mematuhi peraturan, undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan
“Pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, tindakan tegas juga akan diambil oleh polis Kelantan bagi mana-mana pihak yang cuba melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu berkaitan dengan institusi Diraja, agama dan perkauman (3R).
“Pihak polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memuat naik sebarang ‘posting’ di media sosial atau menyebarkan berita yang boleh mendatangkan pecah keamanan dan kegusaran pada masyarakat terutama menyentuh isu-isu 3R,” katanya.- nasionalkini.my