KUANTAN, 8 Julai – Pemain import baharu Sri Pahang FC, Kuvondik Ruziev dari Uzbekistan akan menjadi taruhan utama tuan rumah apabila melayan kunjungan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, petang esok.
Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, pemain tengah itu mungkin akan disenaraikan dalam kesebelasan utama berdepan Gergasi Merah.
“Bagaimanapun, khidmat Rafael Silva dari Brazil belum dapat dipastikan setakat ini.
“Mudah-mudahan kehadiran dua import ini membantu dan pada masa sama prestasi pasukan akan lebih konsisten,” kata legenda bola sepak Singapura itu kepada BH.
Ditanya peluang mencatat kemenangan ke atas Selangor, Fandi berkata, lawannya itu memiliki pemain berpengalaman dan mantap.
“Kami harus waspada dengan gandingan pemain Selangor terutama di bahagian sayap kiri dan kanan. Mereka memiliki kepantasan begitu juga memiliki pemain berpengalaman di tengah dan pertahanan.
“Oleh itu, kami tidak boleh kehilangan mata jika mahu kekal bersaing di kedudukan teratas liga,” katanya.
Fandi turut mengesahkan dua pemain tengah, Kevin Ingreso dan Nor Azam Azih sudah pulih daripada kecederaan namun pemain pertahanan, Azwan Aripin tidak dapat disenaraikan kerana digantung satu perlawanan.
Selepas 15 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketiga dengan 31 mata, tiga mata di belakang pasukan tangga kedua Selangor.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN