BATU PAHAT, 8 Julai – “Adik kerja keras dan sanggup lakukan kerja sambilan untuk mengumpul wang demi majlis perkahwinan yang dirancang pada hujung tahun ini,” kata Shahrizal Saliman, 40.
Abang kepada Muhammad Fikri Saliman, 24, yang lemas di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih itu memberitahu, adiknya itu cukup bersemangat berusaha untuk menjadikan tunangnya, Putri Balqis Izzati, 18, sebagai isteri yang sah.
Jelasnya, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik sudah mengikuti kursus perkahwinan pada April lalu di Pahang selepas mengikat tali pertunangan pada Februari lalu.
“Adik memang bersemangat, sebelum tunang pun kumpul wang, sanggup buat kerja sambilan asalkan hasratnya tercapai.
“Adik yang bekerja di kedai nasi ayam di Batu Pahat buat kerja sambilan baiki motosikal dan kerja-kerja kampung.
“Kadang-kadang sewaktu cuti pun, adik kerja asalkan boleh dapat duit dan sumber pendapatan tambahan untuknya,” katanya ketika ditemui KOSMO di rumahnya selepas selesai pengebumian jenazah adiknya itu.

Hadir menziarahi keluarga mangsa, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
Dalam pada itu, Shahrizal bersyukur jenazah adiknya selamat dikebumikan berdekatan pusara ibu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda.
Shahrizal memaklumkan dia tidak pernah putus berdoa agar jenazah Muhammad Fikri yang ditemukan pada 9.20 pagi pada Jumaat dapat diuruskan secepat mungkin.
“Perjalanan dari Kuala Terengganu, selamat tiada masalah. Saya rasa bersyukur dapat selesaikan urusan pengebumian jenazah adik saya.
“Adik juga dapat dikebumikan berdekatan pusara ibu, Zaitun Rasib. Terima kasih kepada banyak pihak yang membantu sehingga adik selamat dikebumikan di Batu Pahat,” katanya.
“Bantuan termasuk pengurusan di lokasi kejadian hingga Allahyarham dikebumikan akan ditanggung oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor,” katanya.

Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
Muhammad Fikri merupakan antara 10 mangsa tragedi kepala air terbabit, termasuk tunangnya, Puteri Balqis Izzati dan lapan lagi ahli keluarganya.
Mayat Muhammad Fikri ditemukan pada Jumaat, sekali gus menjadikan sembilan mayat dijumpai setakat ini manakala seorang lagi mangsa masih hilang iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN