LONDON, 18 Julai – Manchester City menolak bidaan sebanyak £18 juta (RM107 juta) dari Al-Ahli untuk mendapatkan khidmat Riyad Mahrez dan kini menanti tawaran lebih tinggi.
City turut mengadakan rundingan dengan Kyle Walker mengenai masa depannya susulan minat dipamerkan Bayern Munich dan akan berunding mengenai usaha mereka untuk membeli pemain Red Bull, Josko Gvardiol hari ini, dipetik dari AFP.
Mahrez, 32, menghabiskan sepanjang lima tahun lalu di Manchester City, tetapi masanya di kelab itu kelihatan berakhir selepas dia dilaporkan bersetuju dengan terma peribadi bersama Al-Ahli.
Sejak hadir dari Leicester City pada 2018, Mahrez sudah melakukan 236 penampilan bersama City dan menjaringkan 78 gol.
Namun pemain sayap itu kecewa dia hanya memanaskan bangku simpanan pada final Liga Juara-Juara dan Piala FA bulan lalu dan dia menganggap Arab Saudi sebagai peluang baharu, yang mana dia ditawarkan £43 juta (RM255 juta) setahun tidak termasuk bonus dengan kontrak dua tahun.
Al-Ahli yang baru dinaikkan liga satu daripada empat kelab – selain Al-Nassr, Al-Hilal dan Al-Ittihad – yang diambil alih bulan lalu oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi.
Sementara itu, Gvardiol mungkin menjadi antara pemain baharu yang tiba di Manchester City ketika kelab itu turut menyasarkan pertahanan tengah Lyon, Abdoulaye Ndiaye.
City turut berminat dengan pemain Bayern Munich, Benjamin Pavard, yang mungkin boleh didapati sekiranya Walker sedia untuk berpindah ke kelab gergasi Bundesliga itu.
Gvardiol adalah pemain pertahanan tengah, bukannya pertahanan kanan seperti Walker, namun dia lebih muda 12 tahun dan pasti boleh diserapkan untuk mencetus saingan di benteng pertahanan skuad Pep Guardiola.- nasionalkini.my