SELAYANG, 18 Julai – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Muhammad Sanusi yang berkemeja putih dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.
“Faham Yang Arif… Tidak (mengaku salah),” katanya, lapor BH.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa didapati melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.
Oleh yang demikian, beliau didakwa melakukan satu kesalahan di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.”
Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh manakala peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud bertindak bagi pihak Muhammad Sanusi.
Bilik Mahkamah Sesyen Selayang 2 yang mendengar prosiding pendakwaan itu dikawal ketat oleh sepasukan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muhammad Sanusi akan dibawa ke Mahkamah Sesyen 1 seterusnya bagi menghadapi pertuduhan kedua.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN