JOHOR BAHRU, 18 Julai – Polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun yang aktif dalam kegiatan menyimbah cat merah di sekitar bandaraya ini, awal pagi semalam.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata lelaki warga tempatan itu ditahan di sebuah premis di Taman Ehsan Jaya, di sini dalam serbuan jam 2 pagi
Katanya, polis menahan suspek selepas menerima laporan dari seorang lelaki berumur 48 tahun berkaitan kejadian simbah cat merah di pintu pagar rumah dan dua keretanya di Taman Desa Jaya, lebih kurang 10.30 pagi, kelmarin.
“Semasa serbuan remaja itu ditahan bersama barang rampasan sebuah motosikal, dua plat nombor pendaftaran kenderaan, dua tong bekas cat merah, sehelai baju, seluar, selipar dan beg hitam.
“Hasil tangkapan ini, polis dapat menyelesaikan lima kes jenayah lain membabitkan kes simbah cat merah.
“Hasil semakan suspek tiada rekod jenayah lampau, ujian saringan air kencing suspek negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, lapor BH.
Suspek direman tiga hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula semalam hingga esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.- nasionalkini.my