in

Mahrez jaring gol pertama di Al-Ahli

Gambar oleh Agensi

DAMMAM, 18 Ogos – Riyad Mahrez menyumbat gol pertamanya sejak menyertai Al-Ahli dari Manchester City ketika kelab baharunya mencatat kemenangan kedua daripada dua perlawanan dalam Liga Pro Saudi dengan menundukkan Al-Khaleej 3-1 awal pagi tadi.

Bekas pertahanan AS Roma, Roger Ibanez meletakkan pelawat di depan dalam tempoh 10 minit pertama manakala Mahrez menggandakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.

Pemain gantian Mansour Hamzi mengurangkan jurang buat tuan rumah dalam tempoh 15 minit babak kedua namun pemain sayap Sumayhan Al-Nabit menjaringkan gol ketiga Al-Ahli pada masa kecederaan, lapor Agensi.

Ibanez, yang baru tiba dari kelab Serie A Itali, Roma minggu lalu, membuka tirai jaringan pada minit kesembilan di Stadium Putera Mohamed bin Fahd.

Mahrez melorongkan bola cantik ke kotak penalti dengan Gjanni Alioski melakukan hantaran silang ke kawasan berbahaya kepada Ibanez, yang meledak masuk dari jarak dekat.

Bintang Algeria itu turut terbabit dalam gerakan bagi golnya sebelum meluru ke kotak penalti dan melakukan penyudah mengagumkan dari hujung kawasan penalti.

Hamzi masuk dari bangku simpanan buat tuan rumah Al-Khaleej selepas rehat dan menjaringkan gol dalam tempoh 15 minit apabila menanduk masuk selepas bekas penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy gagal membaca baik hantaran pemain lawan.

Bagaimanapun Al-Khaleej tidak berjaya mencari gol penyamaan sebaliknya membenarkan Al-Ahli melengkapkan kemenangan mereka 11 minit pada masa kecederaan.

Bekas pemain Newcastle, Allan Saint-Maximin mengumpan bola kepada Al-Nabit, melakukan lorongan cantik kepada pemain sayap itu yang tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol lawan Ibrahim Sehic.

Keputusan itu meletakkan Al-Ahli di puncak carta Liga Pro Saudi buat sementara waktu dengan dua kemenangan berturut-turut, sekalipun kebanyakan pasukan utama belum turun beraksi perlawanan kedua mereka.

Ia kemenangan 3-1 kedua berturut-turut buat Al-Ahli yang menundukkan Al-Hazem minggu lalu.

Bekas penyerang Liverpool, Roberto Firmino meledak hatrik pada aksi pertama itu tetapi tidak diturunkan awal pagi tadi kerana mengalami kecederaan ketika sesi latihan.- nasionalkini.my

Madrasah mohon dana tampung kos operasi

Kekosongan kerusi DUN Pelangai akan dimaklum kepada SPR