ALOR SETAR, 14 OGOS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu dijadualkan akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi.
Katanya barisan Exco dari 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah akan dibentuk bagi membantunya untuk mentadbir negeri Kedah selepas ini.
“Selepas komitmen yang saya buat dengan para ADUN ini, selepas ini nak kena lantik jadi Exco pula.
“Saya pecah mata tuan-tuan. Saya nampak semua layak (jadi Exco) saya tak tahu nak lantik siapa.
“Saya serah kepada parti, semua pimpinan PN di Kedah berunding dan berbincang, kalau perlu dibawa ke atas, (selepas itu) datangkan nama itu kepada saya. Saya takkan buat pilihan,” semasa berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, malam tadi.
Beliau pada masa sama berharap agar rakyat berjuang bersama membangunkan negeri ini melalui perancangan pembangunan 15 tahun akan datang.
Kejayaan besar PN pada PRN negeri ini membuktikan apa yang dilakukan oleh kerajaan Kedah telah diakui dan diterima oleh seluruh rakyat negeri ini. – nasionalkini.my