KUBANG PASU, 19 Jun – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk durian dari Thailand menggunakan sebuah bas persiaran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Selasa lalu.
Ketua Pintu Masuk Bukit Kayu Hitam, Mohd. Shukor Shafie berkata, pihaknya mengesan perbuatan itu melalui pemeriksaan rutin terhadap sebuah bas persiaran yang memasuki negara ini kira-kira pukul 2.30 petang, Selasa lalu.
Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat kira-kira 646 kilogram raja buah itu bernilai hampir RM10,000.
“Kegagalan mengemukakan permit import yang sah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, durian tersebut diletakkan di tempat penyimpanan barang bas persiaran berkenaan. – nasionalkini.my