in

Tren khas sempena Aidiladha

Tiket bagi tren khas berkenaan mula dijual jam 2 petang ini dengan harga bermula daripada RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala - Gambar oleh KTMB

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan 912 tiket bagi perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Pantai Timur sempena sambutan Aidiladha hujung bulan ini.

KTMB dalam kenyataannya berkata, penyediaan tren khusus itu sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam mengatasi penggunaan jalan darat yang sering mengakibatkan kesesakan ketika musim perayaan.

“KTMB menawarkan tren khas kepada warga Pantai Timur untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidiladha.

Kebiasaannya jalan raya akan sesak terutamanya ke Pantai Timur pada musim perayaan, jadi dengan adanya perkhidmatan ini, ia bukan sahaja menawarkan keselesaan kepada orang ramai, kanak-kanak dan warga emas untuk balik kampung, tapi turut memberi peluang kepada pelancong mengunjungi lokasi menarik di Pantai Timur,” menurut kenyataan itu.

Jadual tren khas itu bermula pada 27 Jun ini bagi laluan KL Sentral ke Tumpat dengan masa berlepas jam 3.20 petang, manakala pada 1 Julai membabitkan perjalanan Tumpat-KL Sentral dengan masa berlepas jam 6 petang.

Menurut kenyataan itu lagi, Tren Khas ELA akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

“KTMB juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah dua lagi perkhidmatan dari KL Sentral ke Tumpat dan sebaliknya jika mendapat sambutan baik dan menggalakkan daripada pengguna dari Pantai Timur seperti Aidilfitri lalu,” menurut KTMB.

Tiket bagi tren khas berkenaan mula dijual hari ini jam 2 petang dengan harga bermula daripada RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala.

KTMB turut menyarankan pengguna membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my. – nasionalkini.my

Remaja sesat di Bukit Pelindung selamat

IMG 20230603 WA0020

Dua maut motosikal dirempuh kereta