Oleh AD Zafir
KUANTAN, 3 Jun – Seorang remaja perempuan yang dilaporkan tersesat ketika beriadah di kawasan Hutan Bukit Pelindung, dekat sini, awal pagi tadi ditemui selamat.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berusia 20 tahun itu kira-kira jam 8.59 pagi tadi.
Menurutnya, ketika itu mangsa sedang membuat aktiviti mendaki di bukit berkenaan.
“Remaja itu dipercayai tersasar dari trek laluan disediakan untuk aktiviti pendakian dan berjogging.
“Enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Dan Penyelamat Kuantan membuat operasi pencarian sebaik laporan diterima.
“Dalam operasi itu, pihak bomba dapat berhubung dengan mangsa melalui telefon untuk mengenalpasti kedudukannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Zulfadli berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan pihak bomba membawanya turun dari lokasi tersebut.
Jelasnya, operasi pencarian ditamatkan kira-kira jam 10.37 pagi.- nasionalkini.my