KUANTAN, 3 Jun – Akibat mengubah haluan secara mengejut, dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan – Pelabuhan hala Kuantan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.52 pagi itu menyebabkan mangsa Yusof Ibrahim, 58, dari Kampung Baru Sungai Miang, Pekan dan Ismail Jaafar, 61, belum dikenal pasti alamatnya maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal kejadian mendapati kedua mangsa terbabit menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Gebeng ke Kuantan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian iaitu berhampiran Depoh Alam Flora, di sini, motosikal mangsa dikatakan telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut menyebabkan sebuah kereta dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit.
“Akibat pelanggaran itu, kedua mangsa telah tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaah parah di kepala menyebabkan kedua mereka meninggal dunia serta merta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini
Katanya, mayat kedua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat.
“Kereta jenis Nissan Almera berkenaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dan akibat kejadian itu dia mengalami sakit dibahagian dada.
“Pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai sebarang lesen memandu manakala cukai jalan motosikal terbabit juga telah tamat tempoh kira-kira tiga tahun lalu.
“Hasil siasatan awal juga mendapati kejadian berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang mengubah haluan secara mengejut namun siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – nasionalkini.my