in ,

Tragedi kepala air: MB pertimbang tubuh jawatankuasa kenalpasti lokasi panas

penerangan
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan (kanan) mengenai tragedi kepala air di Jeram Air Putih. Foto : Bernama

KEMAMAN, 3 Julai  – Menteri Besar Terengganu mempertimbangkan untuk menubuhkan jawatankuasa dalam masa terdekat bagi mengenalpasti lokasi panas berlaku kepala air di negeri ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan perkara tersebut akan dibawa dalam mesyuarat kerajaan negeri bagi menangani risiko kejadian tidak diingini berikutan bencana alam tersebut.

“Kita akan tengok secara menyeluruh…bukan sahaja di Kemaman tapi juga di tempat-tempat lain.

“Fenomena kepala air ini memang kalau siapa yang biasa pergi jeram-jeram memang ada tulis awasi cuaca, fenomena kepala air berlaku di kawasan tersebut.

“Kita akan tengok balik keberkesanan notis-notis berkenaan dan mungkin tempat-tempat tertentu ini kita kena ada pengawasan lain pula. Jadi kita kena bincang tengok balik macam mana,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk polis dan jabatan perhutanan untuk mencari jalan penyelesaian dalam mengurangkan risiko yang berlaku akibat fenomena kepala air.

Beliau pada masa sama mengingatkan masyarakat agar menitikberatkan faktor keselamatan dan berwaspada dengan keadaan cuaca semasa sewaktu melakukan aktiviti riadah di kawasan jeram atau sungai.

Semalam, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih dipercayai lemas sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Dua mangsa ditemukan meninggal dunia manakala lapan lagi dikhuatiri dihanyutkan kepala air ketika berkelah di jeram tersebut petang semalam.

Mayat Azizah ditemukan  di tebing Kampung Pasir Gajah kira-kira pukul 12.45 tengah hari iaitu 24 kilometer dari lokasi mereka berkelah.

Manakala mayat anak lelakinya yang berusia 11 tahun, ditemui kira-kira pukul 5 petang tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Susulan itu, operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang diperluaskan ke tiga zon melibatkan pencarian radius seluas 32 kilometer (KM) persegi. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 07 03 at 7.06.06 PM

Hadi Baya bukan wakil masyarakat Orang Asli Johor

SUK

Pejabat SUK Pahang yang baharu di KotaSAS akan beroperasi September depan