KUALA LUMPUR, 3 Jun – Lebih 1,200 individu ditahan polis di seluruh negara selepas disyaki terbabit jenayah curi kenderaan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Kejayaan itu adalah hasil gerakan dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melalui Op Lejang Khas yang membabitkan rampasan bernilai RM20.3 juta, termasuk RM19.8 juta nilai rampasan kenderaan.
JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan curi kenderaan dengan penahanan 1,225 individu membabitkan nilai rampasan RM20.3 juta dalam tempoh empat bulan sejak Januari.
“Sebanyak 6,709 kertas siasatan telah dibuka bagi kes kecurian kereta yang dilaporkan.
Sebanyak 1,049 serbuan melibatkan tangkapan seramai 1,225 orang dan rampasan wang tunai sebanyak RM502,865.00 dan dianggarkan nilai rampasan kenderaan adalah sebanyak RM19.8 juta bagi 847 kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Operasi berkenaan yang dijalankan turut berjaya menyelesaikan sebanyak 1,658 kes dan daripada jumlah itu, 639 kes atau 9.5 peratus kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah.
Justeru, polis meminta orang ramai mengambil langkah pencegahan dengan menambah ciri keselamatan pada sistem kenderaan.
Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan, sindiket ini tidak mencuri kenderaan yang dilengkapi sistem tambahan. – nasionalkini.my