BERA, 25 Ogos – Seramai 30 orang warga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya meluangkan masa menyantuni penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat Triang, semalam.
Kunjungan itu diketuai Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Hasil) JPJ Putrajaya, Nurul Fiza Ahmad.
Mereka disambut Pengerusi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Moey.
Nurul Fiza berkata, kunjungan itu adalah bersempena sambutan bulan Kemerdekaan Ke-66.
“Lawatan ini adalah bagi menanam dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Nurul Fiza memberitahu, lawatan ‘Jalinan Kasih Merdeka’ itu bukan sekadar untuk melihat operasi rumah kebajikan berkenaan, tetapi turut menyampaikan sumbangan kepada penghuni di situ.
“Dalam kunjungan kali ini, kita sampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM515 selain pelbagai barangan keperluan asas untuk kegunaan rumah kebajikan berkenaan,” katanya lagi.
Sementara itu, Yoke Moey berkata, pengurusan rumah kebajikan sentiasa menyambut baik sebarang bentuk bantuan disalurkan kepada mereka.
Katanya, selain sumbangan daripada pelbagai agensi dan orang perseorangan, Sang Riang juga banyak menerima bantuan daripada Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man.
“Dia antara yang selalu memberikan sumbangan kepada kami, serta sentiasa mengambil tahu jika kami berdepan kesukaran,” katanya. – nasionalkini.my