JERANTUT, 25 Ogos – Mukim Ulu Tembeling, dekat sini, menjadi lokasi perintis pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man di kampung berkenaan, hari ini.
Yu Man dalam ucapannya berkata, program kampung ‘tanpa tunai’ itu adalah untuk mendidik masyarakat setempat dalam melakukan urusan harian mereka tanpa menggunakan matawang fizikal.
“Penganjuran inisiatif seperti ini amat membantu memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga mahupan orang awam.
“Melalui platform berteknologi tinggi serta pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan jurang digital di kalangan bandar, ia sudah pasti lebih selamat dan memudahkan orang ramai,” katanya.
Yu Man berkata, pengusaha-pengusaha bot dan peniaga-peniaga sekitar Ulu Tembeling juga telah mula mengguna pakai pembayaran secara digital ini dan ianya sudah tentu dapat memastikan pengurusan kewangan lebih mudah dan efisien.
“Kerajaan Pahang juga sudah mengorak langkah dengan kerjasama pihak institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank bagi memastikan negeri ini menjadi negeri pintar melalui penggunaan transaksi digital bagi semua urusan pembayaran,” katanya.- nasionalkini.my