KUANTAN, 15 Jun – Tasik Chini dekat Pekan berjaya mengekalkan status rizab biosfera dikeluarkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Berita baik itu dikongsi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pagi tadi.
“Keputusan itu dibuat UNESCO selepas Mesyuarat International Coordinating Council of the 35th Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB35) di Paris semalam,” katanya.
Tasik Chini adalah tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan itu pada tahun 2009.
Kerajaan Pahang melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengemukakan laporan berkala selepas 10 tahun pengiktirafan diterima untuk penilaian semula oleh sekretariat UNESCO.
Wakil daripada NRECC, kerajaan Pahang dan pejabat delegasi tetap Malaysia ke UNESCO hadir pada mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat ICC MAB35 memutuskan laporan berkala mengenai Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, Pahang menepati kriteria Statutory Framework of the World Network of Biosphere Reserves (WNBR).
“ICC MAB35 membuat keputusan ini berdasarkan kepada syor International Advisory Committee for Biosphere Reserves (IACBR) dengan mengambil kira usaha yang dilaksanakan kerajaan Pahang bagi menambah baik pengurusan Tasik Chini.
“Ini termasuk mengemas kini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera, mewartakan hutan simpan kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan.
“Keputusan ICC MAB35 ini sangat bermakna kepada kerajaan Pahang,” katanya lagi.
Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan Pahang sentiasa komited dalam usaha mengekalkan status Tasik Chini sebagai tapak biosfera di bawah program Man and the Biosphere. – nasionalkini.my