in

Sempadan masuk Kelantan mula sesak

Gambar hiasan

GUA MUSANG, 11 Ogos – Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai, mula sesak dengan kenderaan perantau yang pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Tinjauan BH mendapati berlaku pertambahan kenderaan di kawasan bandar Gua Musang.

Perantau, Wan Mohd Amin Wan Salleh, 50, berkata dia bertolak dari rumahnya di Sungai Buloh jam 12 tengah hari.

“Alhamdulillah perjalanan saya dari rumah ke sini adalah lancar walaupun berlaku pertambahan kenderaan menuju ke Pantai Timur.

“Saya sampai di sini kira-kira 5 petang tadi dan sempat berhenti rehat sekejap di Hentian Gua Musang untuk makan dan solat.

“Saya menjangkakan kenderaan akan bertambah pada petang atau malam ini kerana di Kuala Lumpur, Jumaat adalah hari bekerja,” katanya ketika ditemui BH di Hentian Gua Musang.

Rosma Harnani Rahman, 32, berkata dia bercuti pada hari ini untuk bertolak awal pulang ke kampung.

“Saya memohon cuti pada hari ini untuk bertolak awal ke kampung kerana risau jalan akan sesak.

“Alhamdulillah 12 tengah hari saya sudah sampai di Gua Musang dan sempat singgah di rumah saudara serta akan meneruskan perjalanan ke Kuala Krai.

“Bagi saya setiap orang perlu mengambil tanggungjawab mengundi demi masa depan negara,” katanya yang bekerja di Shah Alam.- nasionalkini.my

Warga emas teroka tanah sejak 1970 gagal dapat hak milik

Fadhli sedia kembali beraksi