Oleh Yusuf Shafie
JASIN, 28 Mei – Kerajaan negeri berharap sukan permotoran boleh menjadi penyumbang peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, hasrat berkenaan tidak mustahil jika penganjur sukan itu terus menjadikan Melaka sebagai tuan rumah sukan berprestij itu.
“Menjelang TMM2024, saya harap sukan permotoran ini juga dapat menyumbang kepada kedatangan pelancong ke negeri ini.
“Pihak Cub Prix (Petronas Cub Prix Malaysia) teruskanlah untuk beri keutamaan kepada negeri Melaka sebagai tuan rumah termasuklah menjadikan Melaka sebagai venue tetap jika sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan piala kemenangan kepada Johan Kelas CP150, Md Akid Aziz, 25, pelumba Yamaha Y150zr PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing di Jasin Bestari, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, kerajaan negeri juga berharap cadangan membina litar lumba di Jasin sebelum ini diteruskan kerana ia membuka lebih banyak peluang kepada belia untuk aktif dalam sukan permotoran.
“Kalau kita dapat pupuk sukan lumba ini di tempat yang betul seawal 13 tahun, mereka boleh jadikan kerjaya masa depan dan minat ini seharusnya dipupuk dari peringkat akar umbi,” katanya. – nasionalkini.my