in

RM1 juta untuk Tabung Kasih @ HAWANA

Anwar menyampaikan sumbangan dari Tabung Kasih @ HAWANA kepada wartawan sambilan bersempena sambutan HAWANA 2023

IPOH, 28 Mei – Tabung Kasih @ HAWANA diwujudkan hari ini bagi membantu dan menyantuni pengamal media.

Tabung itu juga bertujuan untuk menyalurkan sumbangan kepada bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Perasmian tabung itu dilakukan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

Anwar turut meluluskan RM1 juta untuk tabung itu.

“Ada pengumuman kecil yang saya diminta untuk umumkan iaitu tentang Tabung Kasih @ HAWANA, untuk permulaan, saya luluskan RM1 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan HAWANA 2023, di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching.

Pada majlis sama tiga wartawan veteran di Perak menerima sumbangan dari tabung itu.

Mereka ialah pemberita sambilan akhbar Tamil Malar, V Maniam; bekas pemberita bebas, Ou So Ha @ Ou Kok Meng dan editor portal berita Independent.my, Haron Shafei.

Tabung Kasih @ HAWANA adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital sebagai usaha berterusan membantu pengamal media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

Dalam pada itu, Anugerah HAWANA 2023 turut diberikan kepada kartunis, Datuk Mohd Nor Khalid yang sinonim dengan nama Lat. – nasionalkini.my

IMG 20230528 WA0011

Sukan permotoran jadi tarikan TMM2024

Maut lepas cabut gigi