SEREMBAN, 15 Ogos – Selangor FC menyerlahkan kehebatan mereka apabila membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0, pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad The Red Giants memperkukuhkan lagi kedudukan mereka dalam liga di tempat kedua dengan 49 mata.
Selangor mendominasi kedua babak perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu Negeri Sembilan.
Usaha anak buah Tan Cheng Hoe mendapatkan gol pertama membuahkan hasil menerusi sepakan padu Richmond Boakye dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil pada minit ke-26.
Skuad Hobin Jang Hobin yang hanya menurunkan dua pemain import iaitu Herold Goulon di posisi pertahanan dan Casagrande di barisan depan sesekali dilihat berjaya melepasi bahagian pertahanan pasukan Selangor, namun percubaan tidak menepati sasaran atau diselamatkan penjaga gol, Samuel Jacob Somerville.
Babak kedua menyaksikan Selangor menggandakan kekuatan mereka dan berjaya menambah gol kedua pada minit ke-58 menerusi jaringan Ayron Del Valle.
Selangor melebarkan lagi jurang menerusi gol ketiga dan keempat menerusi jaringan Orozco pada minit ke-74 dan Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-83 untuk menamatkan aksi dengan bergaya.- nasionalkini.my