KUALA TERENGGANU, 29 Julai – Terengganu FC (TFC) kempunan meraih kemenangan selepas seri 1-1 berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi ke-18 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.
Beraksi di depan lebih 5,000 peminat setia tuan rumah, skuad kendalian K Devan terlebih dahulu mendapat peluang keemasan menerusi sepakan penalti selepas bola sepakan Filemon Standly terkena tangan pertahanan tengah, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni pada minit kelima.
Bagaimanapun sepakan diambil pertahanan import, Herold Goulon seminit kemudian gagal menembusi gawang gol tuan rumah selepas berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.
Sepanjang babak pertama, perlawanan didominasi skuad Penyu yang banyak mengatur gerakan untuk memburu gol sulung dengan skuad Hobin Jang Hobin lebih banyak bertahan.
Namun TFC yang meletakkan dua pemain import, Ivan Mamut dan Sony Norde mengetuai jentera serangan gagal menterjemahkan jaringan.

Peluang terbaik skuad kendalian Tomislav Steinbruckner memecah kebuntuan hadir pada minit ke-25 menerusi rembatan jauh pemain baharu, Nurillo Tukhtasinov yang hanya sedikit sipi di sebelah kanan pintu gol pelawat.
Begitu juga rembatan deras kapten, Habib Haroon pada minit ke-41 berjaya ditepis keluar penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Sedar perlu jaringan selepas seri dalam dua aksi terakhir, memasuki separuh masa kedua, Steinbruckner memasukkan dua tenaga baharu, Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob bagi menggantikan Nor Hakim Hassan dan Omid Nazari, namun masih belum menemui sentuhan jaringan.
Akhirnya gol dicari tuan rumah hadir pada minit ke-66 selepas bola hantaran Norde ke dalam kotak penalti ditanduk kemas Mamut untuk pasukannya mendahului 1-0.
Pada minit ke-78, penyerang kelahiran Croatia itu berpeluang untuk menambah jaringan kedua peribadinya dan pasukan, namun pemain tinggi lampai itu gagal memperdaya penjaga gol walaupun berdepan satu lawan satu.
Ketika perlawanan dilihat berakhir dengan kemenangan buat TFC, Goulon muncul watak pemusnah apabila meledak gol penyamaan 1-1 menerusi tandukan hasil hantaran Mahali Jasuli pada minit ke-89 sekali gus menebus kesilapannya gagal menyempurnakan sepakan penalti pada awal permainan.- nasionalkini.my