KUANTAN, 11 Ogos – Selepas kira-kira sembilan tahun beroperasi, Maahad Tahfiz Al-Quran Tok Montok, dekat Pekan memberi manfaat kepada lebih 100 pelajar daripada golongan anak yatim dan miskin.
Maahad itu diusahakan di tapak kediaman Allahyarham Mohamad Sulong yang juga menantu kepada bekas kadi daerah Kuantan, Allahyarham Kamaruddin Osman.
Mudir maahad, Yaakob Muhamad berkata, kebanyakan infrastruktur di situ sudah hampir lengkap dengan asrama dan kelas pengajian kepada pelajar.
“Cuma buat masa ini kita memerlukan dewan terbuka untuk dijadikan tempat makan pelajar serta pusat aktiviti keagamaan.
“Jadi, cadangan kita ialah untuk menaiktaraf dewan makan sedia ada untuk dijadikan dewan terbuka,” katanya ketika ditemui wakil nasionalkini.my baru-baru ini.
Yaakob berkata, pelajar maahad itu dibekalkan pengajian fardu kifayah dan kitab-kitab muktabar oleh tenaga pengajar bertauliah dan berpengalaman.
Katanya, seramai 10 pelajar mereka juga sudah melengkapkan pengajian dan kini bergelar hafiz.
“Dua daripada pelajar kami juga sedang mendalami pengajian mereka di Mesir dan Morocco,” katanya lagi.
Dia mempelawa orang ramai atau individu yang ingin menyumbang kepada pembinaan dewan terbuka maahad itu untuk menyalurkan sumbangan mereka ke akaun Maybank 556235304347 atas nama Maahad Tahfiz Al-Quran Tok Montok.- nasionalkini.my