KUANTAN, 15 Julai – Persatuan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) sentiasa mencari jalan meningkatkan capaian perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada orang ramai.
Bagi tujuan itu, PERDIM memerlukan dana untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada semua rakyat di negara ini.
Untuk merealisasikan objektif berkenaan, Presiden PERDIM, Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, pihaknya terbuka untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan mana-mana pihak yang berminat.

“Macam malam ini, kita anjurkan majlis makan malam amal bagi mengumpul dana PERDIM.
“Melalui dana ini, kita dapat meneruskan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam amal PERDIM di sini, semalam.
Hadir sama bekas Presiden PERDIM, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail; Penasihat Olylife 131 Group, Datuk Hisham Abdullah dan Pengarah Urusan Olylife 131 Group, Damien Lim.
Kira-kira 200 ahli PERDIM hadir pada majlis itu yang turut menampilkan persembahan artis terkenal, Datuk Awie.
Dalam pada itu, Boi Saidi memaklumkan setakat ini, PERDIM sudah memiliki lebih 1,300 ahli di seluruh negara.
Katanya, pelbagai program CSR dilaksanakan persatuan itu antaranya memberi bantuan kepada gelandangan, termasuk mengambil anak angkat bagi tujuan mengubah kehidupan keluarga yang memerlukan bantuan. – nasionalkini.my