KUANTAN, 8 Disember – Terdapat lima kawasan air terjun yang perlu dijadikan lokasi tumpuan pelancongan di Kuala Sentul, dekat Maran.
Keindahan air terjun bersama alam semulajadi yang masih tidak diusik oleh pembangunan itu perlu dikekalkan dan dipromosikan kerajaan Pahang.
ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, pengunjung perlu melalui ‘jalan pendakian’ yang mencabar untuk sampai ke kawasan berkenaan.
“Kalau kita ‘hiking’ sehingga Jeram Pelangi bermula dari Kampung Kuala Sentul, kita akan menikmati keindahan lima air terjun di sepanjang laluan itu.
“Ia adalah Air Terjun Tebing Tinggi, Air Terjun Batu Hampar, Jeram Kawah, Air Terjun Tangga dan Jeram Pelangi.
“Keindahan alam semulajadi ini menjadi tarikan kepada yang sukakan cabaran dan berpotensi menjadi destinasi ‘hikers’ dari dalam dan luar Pahang,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Jasri menyifatkan lima air terjun itu sebagai ‘hidden gems of Kuala Sentul’ dan menggesa kerajaan negeri melalui Tourism Pahang mengambil langkah bersesuaian untuk menjaga kawasan berkenaan.
Katanya, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga diminta untuk menolak sebarang permohonan lesen untuk menjalankan aktiviti penebangan pokok di kawasan terbabit.
“Saya juga sudah mengemukakan usul pada sidang dewan undangan negeri (DUN) yang berakhir hari ini supaya semua kawasan itu diwartakan sebagai ‘hutan taman negeri’ seperti kawasan Lubuk Yu.
“Ini adalah untuk memastikan keindahan lima kawasan air terjun berkenaan dapat dikekalkan bersama flora dan fauna di situ,” katanya.— nasionalkini.my