KUANTAN, 4 Mac – Penganjuran kejohanan bola sepak oleh sayap sebuah parti yang meletakkan syarat ‘pelik’ mengundang perhatian ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin.
Dia yang juga ketua BERSATU Maran berpandangan, syarat dikenakan penganjur kepada pasukan yang ingin menyertai kejohanan itu sebagai ‘sangat tidak sesuai’.
“Rosak bakat-bakat baru, anak muda Melayu Kuala Sentul.
“Macam zaman Parti Komunis Malaya – main paksa pulak.
“Think forward! Jauh terpesong perjuangan deme (diaorang) ni,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, Khamis lalu.
Jasri turut berkongsi tangkap layar perbualan – dipercayai menggunakan aplikasi WhatsApp, yang mengandungi butiran perbualan antara penganjur kejohanan bola sepak itu.
Berdasarkan tangkap layar itu, penganjur menetapkan syarat setiap pasukan akan dibenarkan mengambil bahagian jika mengisi borang sebagai ahli parti tertentu.
Jasri bagaimanapun berharap pihak penganjur dapat menjadikan kejohanan bola sepak berkenaan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan golongan muda tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Semoga penganjur kejohanan seperti ini tidak berselindung di sebalik agenda politik mana-mana pihak,” katanya.– nasionalkini.my