in

KDNK Terengganu luar jangka

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Oleh Mohammad Ishak

KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Terengganu merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) luar jangkaan bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peningkatan sebanyak 5.9 peratus dicatatkan sepanjang 2022 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM37.3 bilion.

“Kerajaan negeri pada awalnya menyasarkan pertumbuhan sekitar 3.5 peratus hingga 4.5 peratus sahaja.

“Namun, kadar pertumbuhan positif ini menandakan ekonomi negeri kita dalam keadaan sihat dan semakin berkembang,” katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri berkata, data diperoleh itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ekonomi Terengganu tidak berkembang selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Tambahnya, subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, Penginapan, Makanan dan Minuman serta perkhidmatan kerajaan terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.

“Dalam tempoh lima tahun ini, KDNK kita memperlihatkan trend menaik iaitu 2.5 peratus pada tahun 2018, 3.3 peratus (2019), 3.6 peratus (2021) dan 5.9 peratus pada tahun lalu.

“Cuma ketika pandemik COVID -19 (pada tahun 2020), kita mencatatkan penguncupan sebanyak 5.7 peratus akibat impak bencana itu yang turut menjejaskan ekonomi dunia secara keseluruhannya,” katanya lagi. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Ada menara tapi tiada internet

IMG 20230516 WA0001

Melaka sedia bentang RUU Antilompat Parti