KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta disalurkan kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa banjir di Terengganu, tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan berita gembira itu ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), malam ini.
Katanya, Disember lalu, kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM50 juta kepada Terengganu, sekali gus menjadikan peruntukan keseluruhan diterima negeri itu berjumlah RM100 juta.
“Saya juga mendapat maklumat bahawa peruntukan untuk mangsa banjir yang (diumumkan) RM50 juta awal itu ada kelewatan daripada NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara).
“Saya telah minta (kelewatan) itu disemak dan untuk masuk duit dana, saya dengar daripada kenyataan Menteri Besar Terengganu ada kekurangan.
“Malam ini, untuk mangsa banjir di negeri Terengganu, kita tambah RM50 juta lagi, walaupun tak diminta oleh Menteri Besar,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya menzahirkan harapan agar hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipertingkatkan sekali gus membolehkan lebih banyak inisitiaf tidak berpihak dan dwipartian dapat diperkenalkan sebagaimana dilaksanakan di negara maju demi kebaikan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dan kerajaan pimpinannya terbuka dan bersetuju dengan saranan Ahmad Samsuri bahawa hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan wajar dalam keadaan baik.
“Saya ambil sikap terbuka bahawa hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan mesti baik dan keluhan dan pandangan mereka (kerajaan negeri) diambil kira,” katanya. -nasionalkini.my