JOHOR BAHRU, 12 Julai – Sukar dibayangkan kepayahan dilalui seorang ibu tunggal, Maznah Mohd Yusof yang menghidap talasemia membesarkan tiga orang anak berusia 14 hingga 11 tahun tanpa sumber pendapatan tetap.
Maznah, 36, berkata penyakitnya itu mula diketahui lapan tahun lalu, selepas demam dan kerap pengsan akibat sel darah merah tidak normal.
Katanya pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk bekerja kerani hotel dan kilang, namun tidak bertahan kerana dirinya kerap pengsan dan letih.
Maznah bagaimanapun tidak berputus asa mencari rezeki dan membantu rakannya menjaga kedai serbaneka dengan upah RM300 sebulan selepas berpisah dengan suami pada 2015.
Demi kelangsungan hidup, Maznah berpindah ke Benut, Pontian untuk mencari rumah pada kadar sewa lebih rendah berbanding di bandar raya Johor Bahru.
“Saya berpindah ke Benut akhir bulan lalu dan mendapat rumah sewa pada kadar RM400 sebulan.
“Namun, sehingga kini saya masih gagal mendapat pekerjaan di sana.
“Akhirnya saya tidak ada pilihan dan kembali semula ke Johor Bahru dengan harapan ada rezeki buat anak-anak. Saya juga akan kembali mencari kerja di sini.
“Selain itu saya juga berhasrat memohon bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk memudahkan urusan mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Melayu Majidee.
Sementara itu, Pegawai Jejak Asnaf MAINJ, Nasir Ishak memberitahu, bantuan kewangan Baitulmal keluarga Maznah sebanyak RM300 sudah disalurkan sejak dua tahun lalu.
Ujarnya, Maznah dan anak-anaknya juga akan dibantu supaya mendapat sebuah rumah PPR di Johor Bahru.
Selain itu, keluarga berkenaan turut menerima bantuan barangan keperluan harian bernilai RM500 yang disampaikan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.
Orang ramai yang ingin tampil membantu Maznah boleh menghubunginya ditalian 013-9378994 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya 0110029000835004.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN