Oleh Aliah Ramli
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Peniaga yang menyebabkan halangan dengan berniaga di siar kaki dan petak parkir ‘berputih mata’ selepas barang niaga mereka disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi penguatkuasaan tersebut telah dilaksanakan di Jalan Danau Saujana, Jalan 4/ 27A dan Jalan 14/27B, Desa Setapak di bawah Parlimen Wangsa Maju.

Dalam operasi berkenaan sebanyak lapan tindakan sitaan dikenakan terhadap enam peniaga warga asing dan dua peniaga tempatan.
“Pelbagai barangan telah disita termasuk meja, kerusi, payung kanopi selain dapur dan tong gas serta mesin kisar ABC.
” Tindakan dilaksanakan di bawah Notis Am UUK 3(1), UUK Perlesenan Penjaja (WPKL) ekoran terdapat aduan ramai penjaja warga asing beniaga di lokasi tersebut,” katanya pada hari ini.

Katanya, tindakan juga dilaksanakan terhadap mereka yang membuat halangan awam ketika menjalankan aktiviti perniagaan.
Tambahnya, tindakan seumpama itu akan diteruskan dari semasa kesemasa.
Seramai 25 anggota penguatkuasa dan petugas telah terlibat dalam operasi ini bermula seawal jam 8 pagi. – nasionalkini.my