KUANTAN, 3 Ogos – Seramai 49 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong, dekat sini, mempunyai pelbagai kemahiran dalam bidang spa.
Mereka yang juga pelajar berkeperluan pendidikan khas dilatih melalui program kemahiran asas vokasional (KAV) dan kemahiran vokasional spesifik (KVS) oleh tenaga pengajar sekolah itu.
Melalui program pendidikan khas integrasi SMK Chengal Lempong itu, maka wujudlah Bintang Hati D’Chengal Spa.
Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah berkenaan, Noor Mazlyna Mokhtar berkata, pelajar terbabit sudah menguasai teknik urutan kaki, tangan dan telinga.
“Kami mulakan kelas ini pada tahun 2020 dengan hanya lapan pelajar.
“Sekarang sudah ada 49 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun dan mereka ini ada antaranya pelajar yang ada masalah dalam pembelajaran (slow learner)dan autisme,” katanya ketika ditemui wakil nasionalkini.my di sini, kelmarin.

Noor Mazlyna berkata, kebanyakan pelajar itu datang dari daerah Kuantan, Balok, Sungai Ular dan kawasan sekitar.
“Khidmat latihan urutan spa ini pula terbahagi kepada dua iaitu KVS Asas Urutan dan KAV Asas Refleksologi,” katanya lagi.
Beliau memaklumkan pihak SMK Chengal Lempong juga sedia membawa pelajar itu menyertai karnival berkaitan pendidikan khas jika mendapat undangan.
Mereka boleh dihubungi melalui talian 012-9549060 bagi pertanyaan lanjut mengenai Bintang Hati D’Chengal Spa.- nasionalkini.my