Oleh AD Zafir
KUANTAN, 8 Jun – Dilahirkan sebagai seorang insan yang berdepan dengan masalah autisme bukan menjadi penghalang bagi Muhammad Aziq Asri, 18, untuk mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang mengalami masalah ‘mild autism’ dari sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin itu memperoleh keputusan 8A 1B.
Muhammad Aziq ketika ditemui berkata, bagi mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang sejarawan, dia berhasrat menyambung pengajiannya di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada pengambilan akan datang.
“Saya sangat minat dalam mata pelajaran Sejarah dan kerana itu ingin menjadi seorang sejarawan satu hari nanti. Dengan itu, saya ada berbincang dengan guru kaunseling dan atas nasihatnya, saya bersetuju menyambung pelajaran ke peringkat STPM terlebih dahulu.
“Selepas itu, baharulah saya mengambil diploma dan kemudiannya ijazah untuk mencapai cita-cita saya,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Anak kedua daripada dua beradik itu berkata, untuk mendapat keputusan cemerlang terutama dalam SPM, amalannya adalah memperbanyakkan pembacaan tanpa mengira bahan bacaan yang diperoleh.
Katanya, dia memang suka membaca untuk mencari setiap maklumat diinginkan sama ada melalui pembacaan buku, mahupun carian di laman sesawang.
“Kalau hendak kata saya banyak belajar itu tidak juga, tetapi saya suka membaca. Saya banyak mendapatkan bahan bacaan dari Google (enjin carian),” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada Muhammad Aziq, Marlia Thaalmudin, 48, yang turut ditemui berkata, anaknya itu dikesan menghidap penyakit ‘mild autism’ ketika berusia 5 tahun.
Jelasnya, anaknya ketika itu jelas menunjukkan kepayahan untuk bertutur dan ketika usianya sudah menjangkau 5 tahun masih tidak boleh bercakap.
“Selepas dibawa berjumpa dengan doktor, doktor sahkan anak saya menghidap penyakit ‘mild autism’ dan sejak itu setiap persekolahan baharu bermula, saya berusaha memberi penjelasan kepada guru tentang permasalahan anak saya ini.
“Aziq adalah seorang yang sangat rajin dan suka membaca. Berkat dorongan dan sokongan guru dan rakan sekelasnya, kami bersyukur dan berbangga dengan keputusan diperolehinya dalam peperiksaan SPM ini, ini juga adalah berkat daripada kegigihannya sendiri yang sentiasa mahukan kejayaan,” katanya yang ditemani suaminya, Asri Mohd Din, 54. – nasionalkini.my