Oleh Luth Adwa
MUAR, 1 Julai – Kasih abang pada adik sendiri tiada tolok bandingnya.
Itu dibuktikan bekas graduan Universiti Al-Azhar, Mesir, Muhammad Fudhail Mohd Hakim, 27, yang sanggup menjual tiga motosikal miliknya bagi membiayai yuran pengajian dua adiknya, Fatimah Hanani, 22, dan Umar Suhail, 24.
Terbaru, Muhammad Fudhail menjual motosikal jenis EX5 dibeli bapanya ketika dia berusia enam tahun pada harga RM3,600.
Ia dilakukan bagi membiayai pengurusan dan tiket penerbangan Umar Suhail yang mendapat tawaran pengajian di Jordan dalam jurusan usuluddin.
Muhammad Fudhail berkata, sudah menjadi tradisinya menjual motosikal untuk membantu adik beradik yang mahu melanjutkan pengajian.
“Pada 2016, saya jual Yamaha RXZ pada harga RM4,300 untuk membiayai tiket penerbangan dan yuran Fatimah Hanani selepas mendapat tawaran pengajian di Turki.
“Selepas itu, pada 2021, saya menjual Vespa pada harga RM7,000 untuk membiayai pengajian diploma Fatimah Hanani dan Umar Suhail di Kolej Universiti Islam Sultan Ibrahim, Johor Bahru,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Fudhail berkata, demi adiknya dan membalas pengorbanan ibu, Fadhilah Abu Naim, 52, dan ayah, Mohd Hakim Sanusi, 56, dia tiada masalah walaupun terpaksa menjual motosikal EX5 yang disayanginya itu.
“Umar Suhail perlu menjelaskan yuran pendaftaran sebelum pertengahan Julai ini dan kami perlukan wang untuk melunaskan bayaran berkenaan.
“Abah sudah pencen, hanya emak yang bekerja, tapi mereka juga perlu menyediakan keperluan lain untuk dua lagi adik kami,” katanya.
Muhammad Fudhail yang juga guru di Madrasah Tahfiz Rendah Jawahir Al-Ulum, Sungai Lurus di Senggarang berkata, dia sedar sebagai anak sulung, tanggungjawab terletak di bahunya ketika ini.
“Jasa ibu bapa kita tak boleh lawan, malah saya sendiri berasa seolah-olah tidak berjasa, jadi inilah masanya saya hendak membantu keluarga.
“Mana yang mampu kita akan buat,” katanya. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN