Oleh Luth Adwa
PONTIAN, 1 Julai – Hari persandingan bapa, anak serta cucu bukan sahaja istimewa malah mencinta kelainan tersendiri apabila majlis itu dilangsungkan secara serentak di Jalan Rezab 2, Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas di sini hari ini.
Bapa, Ahmad Omar, 80, bersanding bersama pasangan, Juriah Misubani, 61; Rozita Ahmad, 45, bersanding bersama Mohd. Yazid Ali, 44, manakala Nurhazimah Mohd Hussin, 24, (cucu) dengan pasangannya, Mohamad Zulhaire Zakaria, 22.
Ahmad berkata, majlis serentak itu hasil permuafakatan semua pihak, termasuk ahli keluarga pengantin.
Bapa kepada enam anak dan mempunyai 15 cucu serta tiga cicit itu berterima kasih kepada semua pihak, termasuk penduduk kampung serta saudara-mara, yang membantu menguruskan majlis tersebut.
“Alhamdulillah majlis persandingan ini berjalan lancar. Siapa sangka, tiga generasi bersanding di pelamin yang sama,” katanya di sini hari ini.
Rozita yang juga anak bongsu daripada enam beradik berkata, majlis itu menunjukkan eratnya silaturahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
“Saya berdoa supaya perkahwinan kami sentiasa dirahmati Allah SWT. Terima kasih juga kepada semua yang membantu,” katanya.
Sementara itu, tetamu, Robaniah Jamari, 60, berkata, majlis tersebut bukan sekadar menjadi kenangan buat mempelai malah tetamu.
“Majlis ini cukup unik serta melambangkan keharmonian dalam keluarga juga masyarakat,” katanya. nasionalkini.my