OLEH: AD Zafir
MARAN, 11 Jun – Polis berjaya menahan sembilan lelaki ditahan, disyaki terlibat dalam pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham berkaitan dengan sebuah motosikal yang telah menghalang laluan sebuah kereta di Sri Jaya, di sini, hari ini.
Tiga daripada suspek mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1 tengahari tadi.
Menurutnya, susulan kes tersebut klip video pergaduhan membabitkan beberapa individu itu mula tular di Whatsapp dan laporan polis telah dibuat.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku di Sri Jaya kira-kira pukul 1 tengah hari dan polis berjaya mengesan penjenayah.
“Polis berjaya menahan suspek berusia antara 23 dan 59 tahun di pelbagai lokasi di daerah ini.
“Motif di sebalik pergaduhan itu tercetus akibat perselisihan faham selepas salah seorang suspek meletakkan motosikalnya di belakang kereta dan menghalang laluan kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Norzamri berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tambahnya, orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana kes itu masih dalam siasatan. – nasionalkini.my