KUALA LUMPUR, 12 Jun – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta semua Ahli Parlimen mengutamakan isu kesihatan rakyat dengan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan di Parlimen hari ini.
Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata kelulusan RUU berkenaan akan menjadi langkah penting bagi mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi di Malaysia.
“NCD adalah punca utama kematian dan hilang upaya di Malaysia dan sebahagian besar kes berkenaan berpunca daripada penggunaan tembakau.
“Kita ada peluang mengambil langkah pencegahan lebih bermakna melalui RUU berkenaan.
“Merokok menyebabkan pelbagai jenis kanser, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, diabetes dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).
“Penggunaan ‘vape’ pula boleh menyebabkan kecederaan paru-paru atau vaping product use-associated lung injury (EVALI), iaitu penyakit yang boleh membawa maut,” katanya dalam kenyataan,semalam.

Bagi mengurangkan kelaziman isu kesihatan dalam kalangan rakyat, katanya, adalah dengan mencegah ketagihan terhadap produk rokok dan ‘vape’, terutama dalam kalangan generasi muda melalui teras utama Dasar Generasi Penamat’ (GEG).
“Perlu diingatkan bahawa Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Tembakau Malaysia 2015-2020 (NSPTC) mempunyai sasaran jangka sederhana untuk mengurangkan prevalens merokok kepada 15 peratus menjelang 2025.
“Untuk mencapai sasaran berkenaan, kita memerlukan platform untuk mengubahnya seperti GEG,” katanya.
Katanya, tabiat merokok dalam kalangan penduduk dewasa Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan, iaitu pada 21.3 peratus pada 2019, manakala jumlah pengguna vape yang semakin meningkat juga menimbulkan kebimbangan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah meningkatkan kempen antimerokok dan antivape di media sosial, namun menteri perlu memberikan pencerahan yang terperinci pada sesi pembentangan di Parlimen.
“Kita mengharapkan semua Ahli Parlimen untuk mengutamakan kesihatan rakyat dan mengundi untuk menyokong RUU berkenaan,” katanya. – nasionalkini.my