in

6 ditahan tunda ikan di zon larangan

Sebahagian hasil tangkapan yang turut dirampas Maritim Malaysia dalam operasi malam tadi

Oleh Aimi Isma

LANGKAWI, 18 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C pada kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika timur laut Pulau Tanjung Dendang di sini, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penahanan pada pukul 10.30 malam itu dibuat ketika bot agensi berkenaan melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.

“Turut ditahan seorang tekong dan lima kru warga tempatan berumur antara 27 hingga 40 tahun.

“Tekong, kru dan bot yang ditahan bersama hasil ikan pelbagai jenis seberat 1.5 tan itu telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.

“Kegiatan seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan biasanya ia dilakukan ketika bot berkenaan ingin melepasi jarak lima batu nautika daripada pantai.

“Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut,” katanya.- nasionalkini.my

Sanusi didakwa mengikut Akta Hasutan

Sanusi kena dakwa satu lagi tuduhan