SUNGAI BESAR, 24 Mei – Seorang lelaki tergamak membunuh teman wanitanya selepas dipercayai mahu merahsiakan kehamilan wanita berkenaan dalam kejadian pembunuhan seorang pelayan di Jalan Sungai Limau, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pelayan sebuah restoran ditemui dalam keadaan terbakar oleh orang awam di kawasan belukar kebun kelapa sawit.
Memetik laporan BH, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang terbabit dalam kejadian itu di kawasan Sungai Besar.
“Siasatan awal mendapati suspek berusia 20 tahun dan mangsa dikatakan adalah pasangan kekasih dan sudah menjalin hubungan selama setahun. Malah, mangsa dipercayai hamil empat bulan,” katanya.
Agus Salim berkata, hasil soal siasat mendapati suspek pada kali pertama mengaku keluar bersama mangsa dengan menaiki kereta milik keluarganya malam kelmarin.
“Lelaki itu memukul kekasihnya sehingga pengsan dan menikam perut wanita itu menggunakan pisau disyaki untuk mengeluarkan kandungan.
“Suspek kemudian bertindak membakar mangsa dengan menggunakan petrol. Untuk kali kedua (semalam), suspek sekali lagi hadir ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal. Dia membakar mayat mangsa bertujuan untuk melupuskan bahan bukti,” katanya.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan dia direman selama enam hari sehingga 29 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – nasionalkini.my