Oleh Luth Adwa
MUAR, 12 Julai – Polis menahan seorang lelaki yang juga bapa kepada dua anak yang dirogolnya sejak enam tahun lalu.
Suspek berusia 53 tahun itu ditahan dan direman tujuh hari, bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata suspek menjadikan kedua anaknya yang berusia 12 dan 15 tahun sebagai ‘hamba seks’ dengan kali terakhir perbuatan terkutuk itu berlaku hujung bulan lalu.
“Perbuatan keji itu terbongkar kelmarin selepas anak suspek berusia 15 tahun mendapat rawatan di hospital akibat sakit dada.
“Pemeriksaan dilakukan doktor mendapati mangsa hamil dan soal siasat dilakukan akhirnya membongkar perbuatan suspek,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Jika bersalah suspek boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Difahamkan semua perbuatan terkutuk suspek dilakukan di rumah mereka dan mangsa diugut oleh suspek supaya tidak menceritakan perkara itu kepada orang lain. – nasionalkini.my