Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 18 Julai – Seorang remaja lelaki 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh adik kandungnya, dua minggu lalu.
Pelajar tingkatan dua sebuah sekolah asrama di Alor Gajah itu hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di Kampung Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Julai lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes akan disebut semula pada 22 Ogos dan tertuduh diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Johor.
Lelaki bunuh anak kekasih dihadapkan ke mahkamah
Sementara itu, di mahkamah sama,
seorang lelaki didakwa atas pertuduhan membunuh anak kekasihnya berusia tiga tahun awal bulan ini.
Tertuduh Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, bagaimanapun hanya menunduk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di sebuah rumah bernombor di Jalan PE 15, Taman Paya Emas, Cheng dalam daerah Melaka Tengah antara jam 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, 6 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Hanif Hassan.
Mahkamah menetapkan tarikh 23 Ogos sebagai sebutan semula kes sementara menunggu bedah siasat.
Ibu mangsa turut didakwa abai anak dalam jagaan
Di Mahkamah Sesyen sama pula, kekasihnya, Nurasyiqin Syaqiqah A Ramlee, 24, mengaku tidak bersalah bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 di di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan, iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak sama telah didapati melakukan pengabaian terhadap mangsa.
Tertuduh didapati mendedahkan anak kandungnya itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau membenarkannya dianiaya dengan menyerahkannya kepada Muhammad Firman di tempat, tarikh, masa dan sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu dibenarkan jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri kepada polis sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN