Oleh AD Zafir
KUANTAN, 3 Jun – Semua keputusan berhubung rombakan kabinet atau sebaliknya tertakluk di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara, Fuziah Salleh menegaskan beliau tidak mengambil tahu tentang perkara itu dan hanya menjalankan tugasnya di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Itu (rombakan) adalah hak dan kuasa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Saya tak ambil tahu, saya hanya buat kerja sahaja di Kementerian,” katanya.
Itu ulasan ringkas Fuziah ketika ditanya mengenai khabar angin berkaitan rombakan Kabinet yang didakwa akan dilakukan selepas pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang rombakan Kabinet adalah tertakluk kepada hak prerogatif Anwar.
Minggu lalu, Anwar pula ketika ditanya mengenai khabar angin itu turut meminta dikemukakan cadangan senarai nama rombakan kabinet seperti didakwa pihak tertentu.
“(Mengenai rombakan kabinet) Jika ada cadangan, sila tulis kepada saya.
“Saya akan bagi pertimbangan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, KPDN memberi jaminan bekalan gula mencukupi dan harga komoditi itu juga kekal.
Katanya, pembekal gula di negara ini sudah diminta menepati syarat pengeluaran ditetapkan kerajaan sebanyak 42,000 tan metrik sebulan.
“Ini bermakna tidak akan berlaku masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga gula di pasaran,” katanya.
Ditanya mengenai jumlah pemeriksaan dilakukan pasukan penguat kuasa KPDN melalui Ops Manis sejak Mei lalu, beliau berkata, negeri Kelantan merekodkan jumlah tertinggi dengan 848 pemeriksaan.
Katanya lagi, diikuti negeri Terengganu sebanyak 442, Pahang 597 dan 405 pemeriksaan di Kedah. – nasionalkini.my