Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 16 Jun – Seorang warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri sehelai pakaian dalam wanita berusia 57 tahun di sini, minggu lalu.
Majistret Nurul Asyikin Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hossain Md Iqbal, 32, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri sehelai pakaian dalam bernilai RM5 milik seorang wanita berusia 57 tahun di sebuah rumah di Taman Hilir Kota 1, Jalan Merdeka di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 7 Jun lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu ketika berada di rumahnya menyedari sehelai pakaian dalam miliknya yang dijemur di hadapan rumah didapati hilang.
Pengadu kemudian mengadu isu berkenaan kepada pihak pengurusan pangsapuri yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati seorang warga asing dikenali telah mencuri pakaian dalamnya itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dan tidak hanya dikenakan denda.
Hujahnya, mahkamah dimohon mengambil kira kebimbangan masyarakat sekiranya tertuduh bebas dan kembali ke kawasan berkenaan sekiranya dikenakan denda selain perlakuan tidak bermoral tertuduh sebagai warga asing.
Tertuduh yang bekerja sebagai pelayan pelanggan di sebuah pusat hiburan itu bagaimanapun merayu hukuman denda yang rendah.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak,mahkamah mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan yang berjalan dari tarikh ditangkap 12 Jun lalu. – nasionalkini.my