GEORGE TOWN, 11 Jun- Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang tekad akan memberi sokongan penuh kepada parti penyandang iaitu PAS untuk menghantar wakil bagi mempertahankan kerusi Sungai Bakap.
PN Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa Ahad lalu.
Menurut kenyataan itu, PN Pulau Pinang juga telah melantik wakil daripada PAS sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap selain mengarahkan semua Badan Perhubungan Kawasan Parlimen memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Kita berharap untuk mendapatkan mandat semula pengundi di DUN Sungai Bakap supaya terus menyelia kerajaan melalui PRK ini serta berusaha memperjuangkan dalam penambahbaikan kemudahan asas dalam kawasan Sungai Bakap.
“PN Pulau Pinang juga berharap pengundi di Sungai Bakap dapat menyuarakan tentangan mereka terhadap kerajaan negeri serta kerajaan Pusat berhubung tarif air yang melambung tinggi serta isu kenaikan harga diesel,” kata kenyataan itu seperti dilapor Sinar Harian.
Menurut kenyataan itu, calon bagi PRK Sungai Bakap akan ditentukan dan diumumkan oleh Majlis Tertinggi PN nanti.
Kerusi Sungai Bakap dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut. – nasionalkini.my