KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pelajar yang dianugerahkan ‘International Subject Orders of Merit, First Place’ dan ‘Watts Prize for Audit and Assurance – Professional Level’ bagi siri peperiksaan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) Mac lalu, Mandy Lai menerima ucapan tahniah dari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong.
Menerusi catatan Facebook Istana Negara hari ini, baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian Mandy mendapat keputusan cemerlang bagi siri peperiksaan itu.
Sekali gus meraih anugerah berprestij dan mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa.
“Ia sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan individu berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa
Baginda berdua menzahirkan harapan supaya pencapaian cemerlang beliau menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing,” kata catatan itu.
Baginda juga turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Mandy dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.
Jun tahun lalu, Mandy dianugerahkan tempat pertama bagi ICAEW Certificate Level Annual Order of Merit 2022, World Prize untuk Principles of Taxation manakala Disember pula beliau dianugerahkan World Prize untuk Financial Accounting and Reporting bagi siri peperiksaan. – nasionalkini.my