KUALA LUMPUR, 17 Mei – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di negeri itu.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan membabitkan kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian, baru-baru ini.
“MAIS melahirkan rasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Aziz berkata, dalam titah Sultan Sharafuddin pada 23 Mac 2021, baginda menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun, tetap dilarang penggunaannya di negeri Selangor.
“Baginda berpendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.
“Bagaimanapun baginda tiada halangan sekiranya perkataan ‘Tuhan’ digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’ dalam apa-apa percetakan atau penerbitan berhubung dengan agama Kristian,” katanya dalam kenyatan, hari ini
Justeru, MAIS sekali lagi menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Selangor adalah suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 dan menyalahi fatwa yang diwartakan di negeri itu pada 18 Februari 2010.
MAIS turut berpandangan bahawa proses rayuan dalam kes membabitkan penggunaan kalimah Allah wajar diteruskan demi kepentingan awam dan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi negara ini memutuskan secara muktamad untuk menjadi panduan kepada semua pihak terlibat.
“Justeru, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di negeri Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.
Langkah berkenaan bagi memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri Selangor,” katanya.
Terdahulu, KDN dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.
Bagaimanapun, selepas dikritik ramai, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya terpakai untuk penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, dan tidak terpakai di negeri-negeri lain. – nasionalkini.my